KUALA LUMPUR: Pelaburan korporat atau pelaburan langsung asing (FDI) China di Malaysia dijangka meningkat tiga hingga lima peratus pada 2023 berbanding 2022, kata kumpulan teknologi hartanah Juwai IQI.

Pengasas bersama dan Pengarah Urusan Kumpulan Daniel Ho berkata China telah melabur hampir dua kali ganda dalam ekonomi Malaysia pada 2022.

"Kelulusan bagi pelaburan masuk dari semua negara mencecah RM264 bilion pada 2022. Setakat ini, China merupakan pelabur utama yang menyumbang sebanyak RM55.4 bilion.

"Kebanyakan pelaburan yang diluluskan adalah dalam kategori maklumat dan komunikasi, perlombongan, peralatan pengangkutan dan bahan kimia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ho berkata perniagaan China memilih untuk melabur di Malaysia kerana persekitaran politik negara yang stabil dalam persekitaran yang dikawal selia, kerajaan yang menyokong pertumbuhan, lokasi strategik dan infrastruktur moden.

"Malaysia adalah destinasi bagi syarikat yang mahu mencari pangkalan pembuatan baharu di luar dari tanah besar China.

"Ini akan membantu negara meningkatkan peranannya dalam rantaian bekalan global dan akan membawa kepada pelaburan selanjutnya pada masa depan oleh syarikat berkaitan yang mahu berpindah berhampiran kemudahan sedia ada dalam industri yang sama," katanya.

Bagaimanapun, Ho berkata agka akhir sebenar bergantung kepada pelaburan dirancang yang diluluskan, jadi angka bagi tahun ini mungkin lebih tinggi atau lebih rendah dengan peningkatan aliran jangka panjang.

Beliau berkata pelaburan rentas sempadan di Malaysia kukuh sejak pandemik, bersamaan dengan 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2022.

"Ia jauh lebih tinggi daripada purata 10 tahun dan pra COVID-19, iaitu masing-masing pada 3.2 peratus dan 3.1 peratus," katanya.

-- BERNAMA